Allah Yang Maha Tinggi menciptakan roh suci
sebagai ciptaan yang paling sempurna, yang pertama diciptakan, di dalam alam
kewujudan mutlak bagi Zat-Nya. Kemudian Dia berkehendak menghantarkannya kepada
alam rendah. Tujuan Dia berbuat demikian ialah
bagi mengajar roh suci mencari jalan kembali kepada yang sebenar di tahap Maha
Kuasa, mencari kedudukannya yang dahulu yang hampir dan akrab dengan Allah. Dihantarkan-Nya roh suci
kepada perhentian utusan-utusan-Nya, wali-wali-Nya, kekasih-kekasih dan
sahabat-sahabat-Nya. Dalam perjalanannya, Allah menghantarkannya mula-mula
kepada kedudukan akal asbab bagi keesaan, bagi roh universal, alam nama-nama
dan sifat-sifat Ilahi, alam hakikat kepada Muhammad s.a.w. Roh suci memiliki
dan membawa bersama-samanya benih kesatuan. Apabila melalui alam ini ia
dipakaikan cahaya suci dan dinamakan ‘roh sultan'. Apaabila melalui alam
malaikat yang menjadi perantaraan kepada mimpi-mimpi, ia mendapat nama ‘roh
perpindahan'. Bila akhirnya ia turun kepada dunia kebendaan ini ia dibaluti
dengan daging yang Allah ciptakan untuk kesesuaian makhluk-Nya. Ia dibaluti
oleh jirim yang kasar bagi menyelamatkan dunia ini kerana dunia kebendaan jika
berhubung secara langsung dengan roh suci maka dunia kebendaan akan terbakar
menjadi abu. Dalam hubungannya dengan dunia ini ia dikenali sebagai kehidupan,
roh manusia.
Tujuan roh suci dihantar ke tempat ciptaan yang paling rendah ini
ialah supaya ia mencari jalan kembali kepada kedudukannya yang asal, makam
kehampiran, ketika ia masih di dalam bentuk berdaging dan bertulang ini. Ia
sepatutnya datang ke alam benda yang kasar ini, dan dengan melalui hatinya yang
berada di dalam mayat ini, menanamkan benih kesatuan dan menunbuhkan pokok
keesaan di dalam dunia ini. Akar pokok masih berada pada tempat asalnya.
Dahannya memenuhi ruang kebahagiaan, dan di sana demi keredaan Allah,
mengeluarkan buah kesatuan. Kemudian di dalam bumi hati roh itu menanamkan
benih agama dan bercita-cita menumbuhkan pokok agama agar diperolehi buahnya,
tiap satunya akan menaikkannya kepada peringkat yang lebih hampir dengan Allah.
Allah membuatkan jasad-jasad atau tubuh-tubuh untuk dimasuki oleh
roh-roh dan bagi roh-roh ini masing-masing mempunyai nama yang berbeza-beza.
Dia bena ruang penyesuaian di dalam tubuh. Diletakkan-Nya roh manusia, roh
kehidupan di antara daging dan darah. Diletakkan-Nya roh suci di tengah-tengah
hati, di mana dibena ruang bagi jirim yang sangat seni untuk menyimpan rahasia
di antara Allah dengan hamba-Nya. Roh-roh ini berada pada tempat yang
berbeda-beda dalam tubuh, dengan tugas yang berbeda, urusan yang berbeda,
masing-masing umpama membeli dan menjual barang yang berlainan, mendapat faedah
yang berbeda. Perniagaan mereka sentiasa membawakan kepada mereka banyak
manfaat dalam bentuk nikmati dan rahmat Allah. “Daripada
apa yang Kami berikan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terang,
(mereka) mengharapkan perniagaan yang tidak akan rugi”. (Surah Fatir, ayat 29).
Layaklah bagi setiap manusia mengetahui urusannya di dalam alam
kewujudan dirinya sendiri dan memahami tujuannya. Dia mestilah faham bahawa dia
tidak boleh meminda apa yang telah dihukumkan sebagai benar untuknya dan
digantungkan dilehernya. Bagi orang yang mahu meminda apa yang telah dihukumkan
untuknya, yang terikat dengan cita-cita dan dunia ini Allah berkata: “Tidaklah
(mahu) dia ketahui (bagaimana keadaan) apabila dibongkarkan apa-apa yang di
dalam kubur? Dan dizahirkan apa-apa yang di dalam dada?” (Surah ‘Aadiyat, ayat
9). “Dan tiap-tiap manusia Kami gantungkan (catatan) amalannya pada
tengkuknya…” (Surah Bani Israil, ayat 13).
Sumber: Kitab Sirrul
Assrar dari Syeikh Abdul Qadir Jailani
Tidak ada komentar:
Posting Komentar